Social Icons

Halaman

Rabu, 12 September 2012

Solat berjemaah

Assalamualaikum wbt.
Untuk makluman semua penghuni, setiap hari Selasa, surau Al-Ikhlas akan dikunjungi oleh jemaah tabligh dari kawasan berdekatan untuk sama-sama berjemaah Maghrib & Isya' dan mengimarahkan surau kita ini.

Oleh yang demikian, harap umat Islam dapat meluangkan masa untuk sama-sama turun berjemaah di surau kerana pahala orang yang solat berjemaah adalah 27 kali ganda daripada orang yang solat secara bersendirian. Daripada Ibn ‘Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sembahyang berjemaah lebih utama dari sembahyang sendirian 27 darjah. (al-Bukhari, no: 645, Muslim, no: 249)




Hadis 1
Abdullah Bin Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesiapa mendengar azan dan tidak pergi menunaikan solah berjemaah tanpa sesuatu sebab yang menghalangnya(uzur) daripada menyertai solah berjemaah maka solah yang dikerjakannya itu tidak akan diterima." Para sahabat bertanya, "Apakah uzur itu?"Jawab Rasulullah s.a.w, "Takut atau sakit."  -  Riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Hibban.

Hadis 2
Diriwayatkan daripada Muaz bin Anas r.a daripada Rasulullah s.a.w bahawa Baginda s.a.w telah bersabda, "Sungguh-sungguh zalim, kufur dan nifaq bagi mereka yang mendengar penyeru Allah s.w.t yakni muazzin yang menyeru kepada solah, tetapi mereka tidak pergi menyertai solah berjemaah. - Riwayat Imam Ahmad dan Tabarani.

Hadis 3
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya aku benar-benar berhasrat untuk menyuruh anak-anak muda mengumpul kayu api untukku, kemudian aku ingin pergi kepada mereka yang bersolah di rumah tanpa sebarang keuzuran lalu membakar rumah mereka." - Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Tirmizi.

Hadis 4
Daripada Abu Darda r.a bahawa beliau berkata aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, "Sekiranya terdapat tiga orang di sebuah kampung atau padang pasir dan mereka tidak mendirikan solah berjemaah maka pasti syaitan akan menguasai mereka. Oleh itu, hendaklah kamu mengambil berat tentang solah berjemaah kerana sesungguhnya kambing yang bersendirian akan dimakan oleh serigala."  -  Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasai.

Hadis 5
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas r.a bahawa beliau telah ditanya mengenai seorang yang berpuasa sepanjang hari dan beribadat sepanjang malam, tetapi tidak pergi mengerjakan solah berjemaah dan solah Jumaat. Beliau menjawab, "Dia ialah penghuni neraka."  -  Hadith Riwayat Imam Tirmizi.

Selain daripada ini ada banyak lagi amaran kerana meninggalkan solat berjemaah. Bagi orang Islam, sebenarnya tidak perlu kepada satu ancaman pun, berupa perintah Allah s.w.t dan RasulNya adalah yang paling berharga bagi mereka. Bagi mereka yang tidak menghargai perintah-perintah Allah s.w.t dan RasulNya maka ribuan bentuk ancaman pun tidak memberi sebarang kesan. Apabila sampai waktu akan menerima azab barulah mereka akan menyesal, tetapi sudah tidak berguna lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan